“Bahaya Makan Kepak dan Leher Ayam Kepada Wanita”?
Ada beberapa penulisan yang agak serupa. Mesej mereka ialah ‘jangan makan kepak dan leher ayam kerana di situ suntikan steroid diberikan’.
Adakah ini bermakna memakan daging ayam di bahagian peha dan dada selamat? Adakah ini bermakna juga suntikan steroid akan menyebabkan ‘cyst dalaman’.
Apakah yang dimaksudkan dengan ‘cyst dalaman’? Adakah ovarian cyst? Hanya penulis ini saja yang faham apa yang dimaksudkan dengan ‘cyst dalaman’.
Sebenarnya pada tubuh manusia dan haiwan mempunyai hormone steroid semulajadi. Hormon ini seperti 17ß-oestradiol, progesterone dan testosterone adalah penting dalam tubuh bagi menjalankan sistem fisiologi dan pertumbuhan fizikal dan seksual manusia dan haiwan. Tanpa hormone ini kita tidak membesar sebagai lelaki atau perempuan dan tidak berkehendak untuk berkahwin. Haiwan ternakan juga mungkin tidak akan mengawan.
Oleh kerana hormone steroid itu berada dalam tubuh haiwan, sama ada suka atau tidak, apabila kita makan daging haiwan ternakan, kita juga mengambil sekali hormone steroid yang ada pada haiwan itu.
Secara perbandingan hormone steroid pada haiwan seperti lembu, kambing dan kerbau mempunyai kandungan hormone steroid yang lebih tinggi daripada haiwan burung seperti ayam dan itik.
Namun begitu, kandungan hormone steroid yang ada pada haiwan ternakan adalah rendah dan tidak mengganggu kesihatan tubuh manusia jika daging haiwan itu diambil sebagai makanan. Lagi pun hormone steroid ini adalah hormone semulajadi dan mudah dihuraikan (metabolized) dan dibuang dari tubuh manusia.
Sayangnya, industri penternakan haiwan di seluruh dunia telah dicemari oleh sikap tamak penternak. Mereka menggunakan hormone steroid penggalak (growth-enhancing hormones) untuk menggalakkan tubuh haiwan ternakan cepat membesar dalam waktu yang singkat.
Penternak menggunakan beberapa jenis hormone steroid yang dijual di pasaran. Ada penternak yang menggunakan hormone steroid semulajadi seperti 17ß-oestradiol, progesterone dan testosterone. Ada juga penternak yang menggunakan hormone steroid yang bukan asli (sintetik) seperti zeranol, trenbolone dan melengestrol.
Kesan jangka panjang terhadap manusia apabila dimakan secara berpanjangan berbeza antara satu sama lain.
Ada beberapa kajian menunjukkan bahawa hormone steroid yang asli 17ß-oestradiol boleh menyebabkan kanser. Hormon ini akan memulakan proses pembentukan kanser dan menggalakkan pertumbuhan kanser terutama pada orang yang mempunyai risiko tinggi untuk mendapat kanser.
Oleh itu jika haiwan ternakan lembu diberikan suntikan ini secara berlebihan, hormone ini boleh dipindahkan kepada tubuh tubuh manusia yang memakan dagingnya. Jika dos yang diberikan itu kecil, mungkin tiada kesan yang berlaku. Namun bagi orang yang mempunyai risiko tinggi mendapat kanser, dos yang kecil sudah cukup untuk memulakan proses pembentukan kanser. Jadi berhati-hatilah.
Untuk mengelakkan hal ini berlaku selalunya penternak tidak menyuntik haiwan ternakan mereka apabila menghampiri waktu penyembelihan. Ini bertujuan mengurangkan kepekatan hormone steroid itu dalam darah dan daging haiwan itu.
Walaupun teknik ini sangat tyidak beretika, penggunaan hormone-hormon diamalkan di beberapa buah negara ketiga. Di Negara seperti U, Eropah dan Kanada, penggunaannya diharamkan. Saya tidak pasti sama ada penternak di Malaysia menggunakan kaedah suntikan hormone steroid ini.
Ayam ternakan juga disuntik?
Ramai yang beranggapankan bahawa suntikan hormone ini dapat menambahkan berat ayam. Sebenarnya ini tidak benar. Pertambahan berat badan ayam bukan disebabkan oleh pertambahan jisim otot, tetapi pertambahan lemak di bawah kulit ayam.
Penternak biasanya berharap teknik ini dapat menambah berat yang lebih banyak bagi setiap ekor ayam apabila ditimbang dan dijual. Pengguna tertipu kerana pertambahan berat ini disebabkan oleh pertambahan lemak, bukan pertambahan otot yang menjadi daging ayam untuk dimakan.
Terdapat juga beberapa kajian saintifik yang mengatakan bahawa ayam membesar bukan disebabkan oleh suntyikan hormone, tetapi disebabkan baka ayam itu sendiri.
(Rujuk:Havenstein GB, Ferket PR, Qureshi MA (October 2003). "Carcass composition and yield of 1957 versus 2001 broilers when fed representative 1957 and 2001 broiler diets". Poult. Sci. 82 (10): 1509–18)
Walaupun begitu kaedah suntikan ini hanya diberikan kepada haiwan ternakan seperti lembu saja kerana harganya mahal. Saya yakin suntikan hormone steroid ini tidak diberikan pada ayam ternakan.
Mungkin pengguna agak keliru melihat ayam ternakan yang disuntik. Itu adalah suntikan vaksin pelali dan antibiotic bagi mencegah penyakit berjangkit di kalangan ayam-ayam ternakan.
Jadi kita memahami bahawa suntikan hormone steroid ini biasa dilakukan pada haiwan ternakan lembu bukan pada ayam atas factor kos dan keberkesanannya.
Setakat ini, tiada laporan menunjukkan bahawa penggunaan ubat hormone penggalak ini memberikan kesan negative kepada manusia yang memakan daging ayam ternakan ini.
copypaste
No comments:
Post a Comment