Sunday 4 September 2011

Kelantan terpaksa gigit jari


Apek (kiri) gigih menjalani latihan bersama penjaga gol skuad olimpik

FAM arah Apek untuk kekal beraksi bersama skuad Olimpik

PENJAGA gol, Khairul Fahmi Che Mat diarah untuk kekal beraksi bersama skuad Olimpik atas
titah Pengerusi Jawatankuasa Skuad Kebangsaan yang juga Presiden Persatuan Bolasepak
Malaysia (FAM), Sultan Ahmad Shah.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad, berkata keputusan itu dibuat Sultan Ahmad Shah
lewat petang semalam selepas kemelut yang timbul berhubung penjaga gol terbabit dimaklumkan
kepada baginda.

"FAM sedia maklum dan sudah menerima khidmat pesanan ringkas daripada Presiden Persatuan
Bola sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa yang memaklumkan sudah menghantar surat
permohonan mengenai khidmat Khairul Fahmi.

"Apapun permohonan ini satu perkara yang sensitif dan ia sudah dipersembahkan kepada Sultan
Ahmad Shah untuk makluman baginda.

"Lewat petang tadi (semalam) baginda menitahkan Khairul Fahmi akan kekal menjalani latihan
dengan skuad Olimpik bagi persiapan menghadapi pusingan ketiga kelayakan Olimpik 2012 zon
Asia di Fukuoka, Jepun 21 September ini," katanya pada sidang media di Kuantan semalam.

Azuddin berkata, bagaimanapun FAM akan menimbang pilihan lain termasuk meminjamkan salah
seorang penjaga gol dalam skuad Olimpik (selain Khairul Fahmi) kepada skuad The Red Warriors
bagi menghadapi Piala Malaysia.

Akhbar kelmarin melaporkan jurulatih skuad Olimpik, Ong Kim Swee enggan melepaskan Khairul
Fahmi atau lebih mesra dipanggil Apek menyertai skuad Kelantan untuk saingan Piala Malaysia
bagi membolehkan penjaga gol itu terus bersama skuad kendaliannya.

Malah Apek sendiri yang agak terganggu mindanya memutuskan untuk mengutamakan skuad negara.

"Saya akur tugas dengan kedua-dua pasukan (negara dan Kelantan) begitu penting. Namun bagi
saya misi negara lebih penting dan mahu membantu meningkatkan mutu bola sepak negara," katanya.

Ketika ini Kelantan hanya ada seorang penjaga gol iaitu Mohd Shahrizan Ismail selepas khidmat
penjaga gol veteran, Mohd Halim Napi dan penjaga gol ketiga, Norhadi Ubaidillah hampir pasti
diketepikan dalam kempen Piala Malaysia musim ini setelah mengalami kecederaan.

Berita Harian

dari : mat magic

No comments:

Post a Comment