Showing posts with label the red warrior. Show all posts
Showing posts with label the red warrior. Show all posts

Tuesday, 6 September 2011

Kelantan Buru Tiga Mata


Bukan pasukan tempang walaupun tanpa beberapa tonggak utama
KOTA BHARU – Enggan dilabelkan pasukan pilihan, namun juara bertahan, Kelantan tetap memasang impian untuk mengutip mata penuh apabila bertemu Sarawak dalam perlawanan pembuka tirai peringkat kumpulan Piala Malaysia di Stadium Sarawak, Kuching malam ini.

Ketua Jurulatih Kelantan, Datuk M Karathu dalam nada merendah dirinya walaubagaimanapun mengakui pertemuan menentang pasukan dari Kepulauan Borneo itu bakal menjanjikan saingan yang sengit  bagi anak buahnya.
“Atmosfera kempen Piala Malaysia cukup berbeza dengan pertandingan bola sepak yang lain. Ini merupakan perlawanan pertama setiap pasukan dan sudah pasti ianya menjadi tumpuan semua pihak,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, sebelum berlepas ke Kuching, pagi semalam.
“Kita merupakan juara bertahan dan sudah pasti tekanan lebih kepada kita. Setiap pasukan yang bertemu dengan kita pasti akan beraksi dengan lebih bersemangat. Misi kita ke Kuching ialah untuk menang. Saya tidak peduli berapa gol yang kita jaringkan asalkan  kita dapat membawa pulang tiga mata ke Kota Bharu.
“Memang bukan mudah bagi kita beraksi ditempat lawan. Apa yang saya harapkan para pemain menunjukkan persembahan yang matang dan beraksi sebagai satu unit pasukan. Kita mahu tiga mata sebagai permulaan yang cemerlang dalam kempen Piala Malaysia musim ini,” katanya.
Mengakui tidak banyak maklumat yang diperolehi mengenai kekuatan pasukan Sarawak, Karathu menjelaskan itu bukan masalah besar bagi beliau dalam merencanakan strategi ampuh mengekang percaturan taktikal Robert Alberts dalam perlawanan malam ini.
“Saya tidak pernah tengok corak pasukan Sarawak. Kita kena berhati-hati dan tidak boleh terikut dengan gaya permainan mereka. Mereka ada dua pemain pinjaman dari ATM yang menambahkan kekuatan mereka tapi kita mempunyai pasukan yang mempunyai ramai pemain berkualiti yang tidak boleh mengecewakan saya malam esok (ini).
“Sudah pasti saya mempunyai strategi tersendiri dan itu tidak boleh saya dedahkan. Kita akan bermain seperti biasa. Lebih mustahak kita perlu menjaringkan gol awal.  Dalam bola sepak, kalau kita hanya mempunyai tiga peluang, kita harus memanfaatkan salah satunya dengan menjaringkan gol,” katanya.
Sementara itu Karathu turut menegaskan pasukannya tidak sesekali bergelar ‘pasukan tempang’ dalam mengharungi kempen Piala Malaysia musim ini walaupun terpaksa beraksi tanpa beberapa tonggak utama dalam saingan awal peringkat kumpulan ini.
“Ya memang kita kehilangan Zairul Fitree (Ishak) dan Surendran kerana masalah kecederaan. Apex (Khairul Fahmi Che Mat) dan Mohd Izuan (Salahuddin) pula bersama skuad Olimpik kebangsaan ketika ini.
“Saya tidak mahu menjadikan itu satu alasan. Jadi, kita kena berjuang dengan barisan pemain yang ada. Kita ada Mohamad Ab Aziz (Ismail) dan Mohd Shahrizan yang menunjukkan prestasi yang cemerlang bersama kita setakat ini,” katanya.
kredit utk kelate.net

Shahrizan Sandaran Utama


KOTA BHARU – Biarpun hanya beraksi 270 minit dalam penampilan Liga Super dan Piala FA musim ini, namun penjaga gol berpengalaman Kelantan, Mohd Shahrizan Ismail sudah bersedia sepenuhnya untuk kembali menggalas tanggungjawab apabila diturunkan dalam pertemuan pertama kempen Piala Malaysia menentang Sarawak, malam ini.
Mohd Shahrizan (Mat Chah)
Mohd Shahrizan atau lebih dikenali dengan panggilan Mat Chah kini dilihat menjadi sandaran utama skuad The Red Warriors setelah usaha Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) untuk mendapatkan khidmat Khairul Fahmi Che Mat  bagi kempen empat perlawanan peringkat kumpulan Piala Malaysia musim ini menemui jalan buntu.
“Memang musim ini saya lebih banyak memanaskan bangku simpanan. Hanya diberi peluang beraksi dalam tiga perlawanan iaitu menentang Terengganu dan Perak dalam Liga Super dan Johor FC dalam saingan Piala FA. Namun perkara itu tidak pernah mematahkan semangat saya untuk membantu negeri kelahiran sendiri,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, semalam.
“Peluang mungkin datang sekali dan saya harus menggunakan kesempatan ini sebaik mungkin. Saya tidak mempunyai masalah malah bersedia diturunkan jika terpilih berada dalam kesebelasan utama pasukan menentang Sarawak malam esok (ini).
“Semua ini menjadi motivasi kepada saya untuk menunjukkan persembahan cemerlang dalam perlawanan akan datang. Malah, lima perlawanan persahabatan yang ditempuhi sebelum ini memberikan keyakinan yang lebih kepada saya untuk memastikan pintu gol Kelantan tidak dibocori,” katanya.
Melihat aksi cemerlangnya dalam empat daripada lima perlawanan persahabatan pra Piala Malaysia sepanjang bulan lalu, memungkinkan penjaga gol berusia 32 tahun kini menjadi pilihan utama Ketua Jurulatih, Datuk M Karathu namun Mohd Shahrizan enggan terlalu dibuai dengan keyakinan yang berlebihan.
“Saya tidak mahu terlalu ghairah atau berasa selesa kerana kita masih ada Mohd Halim (Napi), Judtanna (Eh Put) dan Muhammad Syazwan (Yusoff) diposisi penjaga gol. Semuanya bergantung kepada penilaian jurulatih siapa yang akan diturunkan nanti.
Namun saya berjanji sekiranya diberi peluang, saya akan berikan persembahan terbaik. Sekalipun ketiadaan Khairul Fahmi (Che Mat), saya masih perlu bekerja keras untuk membuktikan sentuhan saya masih lagi berbisa,” katanya.
Sementara itu, penyerang pinjaman dari Pahang, Azammuddin Mohd Akil turut melaungkan keyakinan betapa ‘pasukan barunya’ kini cukup bersedia mengharungi saingan getir mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia sekali lagi.
“Kombinasi saya bersama Norshahrul Idlan (Talaha) serta rakan sepasukan yang lain semakin menampakkan keserasian. Empat gol yang dijaringkan daripada lima persahabatan lalu membuktikan saya sudah bersedia membantu Kelantan memenangi kejuaraan Piala Malaysia sekali lagi,” katanya.

kredit utk kelate.net

Sunday, 4 September 2011

Kecederaan tak luntur semangat Norhadi bantu Red Warriors


    



DI sebalik kecederaan paru-paru yang dialami ketika menentang Kanada di Sukan Universiti Dunia 
(Universiade), di Shenzen, China baru-baru ini, penjaga gol muda negara Norhadi Ubaidillah masih 
bersemangat untuk turun beraksi membantu Kelantan dalam saingan Piala Malaysia yang bermula
Selasa depan. 

Semangat anak kelahiran Bachok, Kelantan ini mungkin bertambah selepas menyaksikan The Red
Warriors mengalami masalah kekurangan penjaga gol selepas Khairul Fahmi Che Mat tidak dilepaskan 
oleh pengendali skuad Olimpik negara, Ong Kim Swee.

Ekoran ketiadaan Khairul Fahmi, Kelantan kini hanya bergantung kepada Shahrizan Ismail selepas 
Norhadi dan penjaga gol veteran, Halim Napi turut mengalami kecederaan.

“Saya masih berharap kecederaan yang dialami ketika menentang Kanada lalu dapat pulih dengan 
cepat bagi membantu Kelantan untuk mengekalkan trofi kejuaraan,” kata Norhadi yang merupakan 
penjaga gol ketiga Kelantan musim ini. 

Norhadi kini berehat di rumah selepas mengalami kecederaan yang dialami ketika bertembung dengan 
penyerang Kanada dalam perlawanan penentuan tempat ke sembilan dan 10 kejohanan Universiade 
yang menyaksikan skuad negara tewas 1-5. 

Katanya, dia dinasihatkan supaya berehat sekurang-kurangnya dua bulan namun tetap mahu melihat 
kejayaan Kelantan mengekalkan kejuaraan yang dimenangi tahun lalu. 

“Andai kecederaan yang dialami tidak pulih dalam tempoh terdekat, saya mendoakan kejayaan 
pasukan,” katanya.


dari blog magic

'Red Warriors kena terima kenyataan'




KHAIRUL Fahmi (kiri) menjalani latihan bersama rakan seposisi (dari kiri) Mohd Izham Tarmizi, Muhammad Zamir Selamat dan Sasikumar di Wisma FAM, kelmarin.

Khairul Fahmi ada tugas lebih penting: Kim Swee

CABARAN Kelantan dalam kancah Piala Malaysia, musim ini tersentak apabila penjaga gol utama mereka, Khairul Fahmi Che Mat tidak dibenarkan beraksi ketika dinilai peranannya lebih penting untuk skuad Olimpik.
Ini berikutan keputusan jurulatih skuad Olimpik, Ong Kim Swee enggan melepaskan ayam tambatan pasukan itu beraksi apabila kejohanan paling berprestij negara itu bermula Selasa.
Pengendali itu beranggapan dia ada misi lebih penting mencanang pasukan mantap berdepan Jepun pada perlawanan pertama pusingan ketiga kelayakan Olimpik 2012 zon Asia di Fukuoka, Jepun, pada 21 September ini.

“Saya faham situasi sesetengah pasukan termasuk Kelantan yang kekurangan pemain, namun buat masa ini semua pemain dalam pasukan Olimpik negara mempunyai misi yang lebih penting,” katanya.

Dia menambah Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) perlu mencari alternatif mendapatkan penjaga gol lain. Hujahnya pemain dalam skuad sudah berkorban selama sebulan terbabit dalam perlawanan persahabatan di Slovakia dan adalah tidak wajar pemain meninggalkan latihan skuad begitu sahaja.

Kelantan, selaku juara bertahan Piala Malaysia, diundi bersama Johor FC, Kuala Lumpur, Felda United dan Sarawak dalam Kumpulan C.
Kelantan sebelum ini dilaporkan bakal kehilangan dua penjaga gol serentak iaitu penjaga gol veteran, Mohd Halim Napi dan Norhadi Ubaidillah kerana masing-masing dibelenggu kecederaan.


Sementara itu, ketua jurulatih Kelantan, Datuk M Karathu tidak cepat melatah dan menganggap perkara itu tidak akan menimbulkan sebarang masalah kepada cabaran The Red Warriors.

“Ketiadaannya (Apek) tidak menimbulkan sebarang masalah kepada kami. Kami masih ada Mat Shah malah kami juga akan memanggil penjaga gol skuad Piala Presiden menyertai latihan bersama pemain senior dan sedia menggunakan khidmat mereka sekiranya keadaan terpaksa dalam kempen Piala Malaysia kali ini,” katanya.

Berita harian online

from : magic

Kelantan terpaksa gigit jari


Apek (kiri) gigih menjalani latihan bersama penjaga gol skuad olimpik

FAM arah Apek untuk kekal beraksi bersama skuad Olimpik

PENJAGA gol, Khairul Fahmi Che Mat diarah untuk kekal beraksi bersama skuad Olimpik atas
titah Pengerusi Jawatankuasa Skuad Kebangsaan yang juga Presiden Persatuan Bolasepak
Malaysia (FAM), Sultan Ahmad Shah.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad, berkata keputusan itu dibuat Sultan Ahmad Shah
lewat petang semalam selepas kemelut yang timbul berhubung penjaga gol terbabit dimaklumkan
kepada baginda.

"FAM sedia maklum dan sudah menerima khidmat pesanan ringkas daripada Presiden Persatuan
Bola sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa yang memaklumkan sudah menghantar surat
permohonan mengenai khidmat Khairul Fahmi.

"Apapun permohonan ini satu perkara yang sensitif dan ia sudah dipersembahkan kepada Sultan
Ahmad Shah untuk makluman baginda.

"Lewat petang tadi (semalam) baginda menitahkan Khairul Fahmi akan kekal menjalani latihan
dengan skuad Olimpik bagi persiapan menghadapi pusingan ketiga kelayakan Olimpik 2012 zon
Asia di Fukuoka, Jepun 21 September ini," katanya pada sidang media di Kuantan semalam.

Azuddin berkata, bagaimanapun FAM akan menimbang pilihan lain termasuk meminjamkan salah
seorang penjaga gol dalam skuad Olimpik (selain Khairul Fahmi) kepada skuad The Red Warriors
bagi menghadapi Piala Malaysia.

Akhbar kelmarin melaporkan jurulatih skuad Olimpik, Ong Kim Swee enggan melepaskan Khairul
Fahmi atau lebih mesra dipanggil Apek menyertai skuad Kelantan untuk saingan Piala Malaysia
bagi membolehkan penjaga gol itu terus bersama skuad kendaliannya.

Malah Apek sendiri yang agak terganggu mindanya memutuskan untuk mengutamakan skuad negara.

"Saya akur tugas dengan kedua-dua pasukan (negara dan Kelantan) begitu penting. Namun bagi
saya misi negara lebih penting dan mahu membantu meningkatkan mutu bola sepak negara," katanya.

Ketika ini Kelantan hanya ada seorang penjaga gol iaitu Mohd Shahrizan Ismail selepas khidmat
penjaga gol veteran, Mohd Halim Napi dan penjaga gol ketiga, Norhadi Ubaidillah hampir pasti
diketepikan dalam kempen Piala Malaysia musim ini setelah mengalami kecederaan.

Berita Harian

dari : mat magic

Pinda jadual Piala Malaysia

saingan suku/separuh akhir Piala Malaysia mungkin diubah
JADUAL perlawanan suku akhir atau separuh akhir Piala Malaysia musim ini mungkin dipinda 
bagi memberi laluan kepada perlawanan persahabatan antarabangsa antara skuad Harimau 
Malaya menentang skuad Piala Dunia Australia yang dijadualkan 7 Oktober ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), 
Datuk Hamidin Mohd Amin, berkata cadangan itu akan dibawa pada mesyuarat JPKT, Jumaat ini 
bagi berlaku adil terhadap pasukan yang layak ke suku akhir atau separuh akhir Piala Malaysia
tetapi memiliki ramai pemain yang beraksi dengan skuad kebangsaan.

Hamidin berkata, memandangkan tarikh perlawanan persahabatan itu yang begitu hampir dengan
 perlawanan suku akhir dan separuh akhir Piala Malaysia, ada kemungkinan beberapa pemain yang 
mewakili skuad kebangsaan tidak akan dapat beraksi untuk pasukan masing-masing dalam saingan

Piala Malaysia kerana terpaksa menghadiri latihan pusat beberapa hari menjelang perlawanan 
persahabatan itu dan memerlukan rehat seketika selepas persahabatan itu sebelum kembali bersama 
pasukan masing-masing.

Menurutnya, situasi itu mungkin akan menjejaskan cabaran pasukan yang mempunyai ramai pemainnya 
mewakili skuad kebangsaan.

Justeru, kita akan cuba memutuskan sama ada meminda jadual pertandingan Piala Malaysia atau
 pasukan yang terbabit terpaksa menerima hakikat beraksi tanpa pemain mereka yang mewakili skuad kebangsaan,” katanya kepada pemberita pada majlis rumah terbuka Aidilfitri di kediamannya di Shah
 Alam, Selangor, semalam.

Perlawanan persahabatan menentang Australia itu atas persetujuan FAM menerima jemputan
 Persekutuan Bola Sepak Australia (FFA) ke negara itu bagi mengadakan perlawanan persahabatan 
di Sydney, 7 Oktober ini. 

Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad yang mengesahkan perkara itu 26 Ogos lalu berkata, 
keputusan untuk menerima jemputan FFA itu dicapai selepas mendapat perkenan presiden, 
Sultan Ahmad Shah dan mengadakan perbincangan bersama jurulatih, Datuk K Rajagobal dan 
pengurus pasukan, Datuk Subahan Kamal.

Hamidin berkata, bagi mengelakkan masalah serupa daripada berulang, pada mesyuarat JKPT itu 
nanti, pihaknya akan mencadangkan supaya semua jadual perlawanan persahabatan skuad negara 
pada masa akan datang disusun rapi lebih awal dan dipastikan tidak bertembung dengan perlawanan
liga tempatan.

Berita Harian

diculik dari blog mat jebon