Tuesday, 6 September 2011

Kelantan Buru Tiga Mata


Bukan pasukan tempang walaupun tanpa beberapa tonggak utama
KOTA BHARU – Enggan dilabelkan pasukan pilihan, namun juara bertahan, Kelantan tetap memasang impian untuk mengutip mata penuh apabila bertemu Sarawak dalam perlawanan pembuka tirai peringkat kumpulan Piala Malaysia di Stadium Sarawak, Kuching malam ini.

Ketua Jurulatih Kelantan, Datuk M Karathu dalam nada merendah dirinya walaubagaimanapun mengakui pertemuan menentang pasukan dari Kepulauan Borneo itu bakal menjanjikan saingan yang sengit  bagi anak buahnya.
“Atmosfera kempen Piala Malaysia cukup berbeza dengan pertandingan bola sepak yang lain. Ini merupakan perlawanan pertama setiap pasukan dan sudah pasti ianya menjadi tumpuan semua pihak,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, sebelum berlepas ke Kuching, pagi semalam.
“Kita merupakan juara bertahan dan sudah pasti tekanan lebih kepada kita. Setiap pasukan yang bertemu dengan kita pasti akan beraksi dengan lebih bersemangat. Misi kita ke Kuching ialah untuk menang. Saya tidak peduli berapa gol yang kita jaringkan asalkan  kita dapat membawa pulang tiga mata ke Kota Bharu.
“Memang bukan mudah bagi kita beraksi ditempat lawan. Apa yang saya harapkan para pemain menunjukkan persembahan yang matang dan beraksi sebagai satu unit pasukan. Kita mahu tiga mata sebagai permulaan yang cemerlang dalam kempen Piala Malaysia musim ini,” katanya.
Mengakui tidak banyak maklumat yang diperolehi mengenai kekuatan pasukan Sarawak, Karathu menjelaskan itu bukan masalah besar bagi beliau dalam merencanakan strategi ampuh mengekang percaturan taktikal Robert Alberts dalam perlawanan malam ini.
“Saya tidak pernah tengok corak pasukan Sarawak. Kita kena berhati-hati dan tidak boleh terikut dengan gaya permainan mereka. Mereka ada dua pemain pinjaman dari ATM yang menambahkan kekuatan mereka tapi kita mempunyai pasukan yang mempunyai ramai pemain berkualiti yang tidak boleh mengecewakan saya malam esok (ini).
“Sudah pasti saya mempunyai strategi tersendiri dan itu tidak boleh saya dedahkan. Kita akan bermain seperti biasa. Lebih mustahak kita perlu menjaringkan gol awal.  Dalam bola sepak, kalau kita hanya mempunyai tiga peluang, kita harus memanfaatkan salah satunya dengan menjaringkan gol,” katanya.
Sementara itu Karathu turut menegaskan pasukannya tidak sesekali bergelar ‘pasukan tempang’ dalam mengharungi kempen Piala Malaysia musim ini walaupun terpaksa beraksi tanpa beberapa tonggak utama dalam saingan awal peringkat kumpulan ini.
“Ya memang kita kehilangan Zairul Fitree (Ishak) dan Surendran kerana masalah kecederaan. Apex (Khairul Fahmi Che Mat) dan Mohd Izuan (Salahuddin) pula bersama skuad Olimpik kebangsaan ketika ini.
“Saya tidak mahu menjadikan itu satu alasan. Jadi, kita kena berjuang dengan barisan pemain yang ada. Kita ada Mohamad Ab Aziz (Ismail) dan Mohd Shahrizan yang menunjukkan prestasi yang cemerlang bersama kita setakat ini,” katanya.
kredit utk kelate.net

No comments:

Post a Comment