Showing posts with label kawin awal. Show all posts
Showing posts with label kawin awal. Show all posts

Friday, 3 February 2012

kahwin cara melayu atau cara islam??

Apa yang ingin dikongsikan adalah sebuah artikel yang menarik tentang perkahwinan muda mudi. 

Ini adalah kisah seorang gadis yang berfikir di luar konteks minda masyarakat Melayu sekarang. SYABAS buat gadis tersebut dan suaminya!!!

Ia menceritakan bagaimana seorang pelajar perempuan tahun akhir di sebuah universiti yang hampir membunuh diri kerana tertekan setelah ditinggalkan kekasihnya. 

Kemudian beliau mengubah kehidupannya serta-merta menjadikan beliau gadis yang paling bahagia di bumi Allah ini dengan perkahwinan di usia awal.

Mungkin berguna sebagai motivasi diri di kala sunyi dan dibuat sebagai IBRAH bersama.

BACALAH!

**********************************************
Saya berusia 21 tahun, dan sudah berkahwin. Masih muda bukan? Suami saya berusia 23 tahun. Juga masih muda. Kami berdua masih belajar. 

Jadi, mengapa berkahwin? 

Kalau ikut kata mak ayah, “Nak bagi bini makan apa? Pasir?” 

Perjalanan cinta saya tidak mudah. Sebelum berkahwin, saya pernah teruk dikecewakan bekas kekasih. Dia minta masa 3 tahun dari tarikh kami ‘declare’, untuk bersedia untuk berkahwin. 

Hampir 3 tahun, saya ditinggalkan untuk perempuan lain. 

Kecewa…? Sudah tentu. Jujur, saya hampir bunuh diri. 

Saya mengalami tekanan hidup sehingga tidak berhubung dengan dunia luar.

Tapi selepas itu baru saya sedar kehadiran suami saya yang sudah 4 tahun menunggu peluang. 

Pada mulanya, saya ingat sekadar ‘cinta rebound’, tetapi selepas 2 bulan berkenalan dan bercintan, suami saya melamar untuk berkahwin. 

Pada mulanya, saya ingat satu gurauan.

Akhirnya si dia berani menghubungi ayah saya dan minta izin untuk berkahwin kerana takut kehilangan saya lagi. 

Ayah saya pun dahulu berkahwin ketika belajar; ketika beliau tahun 1 peringkat ijazah.

Suami saya pelajar perubatan tahun 3, dan saya cuma tinggal 2 bulan untuk mengakhiri pengajian.

Ayah saya bersetuju memandangkan saya sudah kecewa, takut juga pisang berbuah dua kali. 





Akhirnya, kami berkahwin. Dengan mahar RM 200, sebentuk cincin emas, tiada hantaran, tiada majlis, kami bernikah.

Simple bukan? Kenapa perlu pening?

Kalau anda lelaki, anda mesti ingin berikan segala yang terbaik untuk bakal isteri anda.

Dan, kalau anda perempuan seperti saya, semestinya inginkan hantaran yang tinggi (lulusan ijazah sekarang, hantaran RM10K ke atas). Perlu tidak?

Maaf perempuan, kalau terasa. Saya bukan jual diri, saya tidak perlukan hantaran RM10-20K. 

Saya tidak letak harga untuk nilai diri sendiri dan harga cinta saya. Ini masalah kalau kita kahwin cara Melayu; bukan cara Islam.

Saya perempuan lulusan ijazah, saya ada tulang 4 kerat, dan saya boleh berusaha, kenapa perlu mengharap dengan lelaki? 

Suami bukan untuk dibebani, tapi untuk disenangi. Isteri bukan untuk dibeli, tapi untuk dikasihi.

Kos kahwin sekarang paling rendah pun RM20K serba serbi. 

Hantaran, majlis, belum baju, pelamin. 

Tapi cuba fikir, perlu tidak? 

Baju raya kan masih ada, cantik lagi. Kasut raya pun masih baru.

Kenapa perlu buat majlis di hotel, dewan orang ramai kan ada? 

Kalau rasa sangat mahal untuk katering, boleh upah orang masak, tinggal sediakan bahan dan peralatan. 

Bersanding tak perlu, buat penat badan duduk macam tunggul depan orang. 

Bagaimana pula hukumnya mempamerkan diri (bab aurat dan sebagainya) di hadapan khalayak ramai tatkala bersanding? 

Fikir2kan lah sendiri...

“Seganlah. Nanti orang kata apa.”

“Isk, buat malu belajar tinggi-tinggi, tak dapat hantaran.”

Hai, ni mentaliti Barat. Bagi yang beragama Islam, ingat rukun nikah.

Tanggungjawab selepas kahwin yang penting. Lebih baik duit sewa pelamin jadi duit persiapan untuk anak pertama. 

Prioritikan penggunaan duit anda. Kos bersalin bukan murah. 

Kalau di hospital kerajaan, paling kurang perlu ada RM400-500. 

Tapi di hospital swasta, minimum RM2000. Kos ada anak sangat tinggi sekarang.

Pernah cuba lihat harga setin susu bayi di pasar? 

Harga lampin pakai buang? 

Dan sekarang, anda masih terfikir pelamin itu penting? 

Ini tak kira duit nak beli kenderaan, beli rumah. 

Pening!! 

Jadi jangan bebankan diri anda dengan majlis perkahwinan yang membazir dan tidak perlu.

Saya bahagia sekarang. Boleh keluar dengan suami tanpa rasa takut dan malu, disentuh lelaki bukan mahram. 

Dan suami saya tidak perlu takut saya diambil lelaki lain seperti dahulu. 

Apa semua yang pasangan bercinta lakukan, kini kami lakukan dengan halal. Dan kami boleh lakukan lebih dari itu, dengan halal. 

Tidak perlu risau. Kami aman dan bahagia. Saya dan suami masih bercinta. Masih belajar mengenal sesama sendiri. 

Dan percayalah, tak guna bercinta lama-lama.

Seganlah keluar dengan pasangan yang tidak halal untuk anda. 

Saya dan suami, masih seperti pasangan yang baru bercinta. 

Saya mampu tanggung hidup sendiri, kerja dan cari duit sendiri. 

Buat apa menyusahkan suami? 

Dan suami berusaha belajar bersungguh-sungguh (bagi pelajar perubatan, anda faham maksud saya), untuk mendapat keputusan yang cemerlang. 

Saya tahu ego lelaki tercabar, tetapi saya jujur cintakan suami saya. Saya tak ingin jadi beban, cukup asal dia berasa senang dengan saya.

Tidak perlu nafkah yang besar, semampu yang ada saya terima.

Bakal-bakal isteri sekalian, bersyukurlah dengan suami anda. 

Dan bakal-bakal suami sekalian, hargai isteri kamu. Terima kekurangan dan kelemahan pasangan anda. 

Persamaan membina keserasian, perbezaan itu melengkapkan.

Rezeki Tuhan ada di mana-mana. Jangan putus asa. 

Berkahwinlah! 

Semoga anda semua merasa tenang dan bahagia.

“Dan antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya bahawa Dia menciptkan untuk kamu (wahai kaum lelaki) isteri-isteri daripada jenis kamu sendiri, supaya kamu BERSENANG HATI dan hidup MESRA dengannya, dan dijadikan di antara kamu (suami isteri) perasaan KASIH SAYANG dan BELAS KASIHAN.” (Surah Ar-Rum, 21)

***************************************************************************

Betul tak apa yang dia kata tu? 

Perkahwinan hanya sekali sahaja sedangkan kehidupan selepas perkahwinan itu sehingga akhir hayat. 

Cuba fikir mana lagi penting?



copypaste

Wednesday, 5 October 2011

Antara persoalan kahwin awal


Antara persoalan kahwin awal

On 05/10/2011, in Islam, by syahirul
Rasulullah s.a.w bersabda: Tiga perkara yang jangan dilambat-lambatkan, iaitu solat apabila telah masuk waktunya, jenazah apabila telah siap (urusan mandi dan kafan) dan anak gadis setelah ditemui (pasangan) yang sesuai untuknya. (H.R. Tirmidzi)
Kahwin awal bukan satu masalah. Mari lihat persoalan-persoalan yang selalu menerjah di kepala anak-anak muda yang fitrahnya terhalang atas sebab-sebab tertentu.
1. Kahwin waktu masih belajar, adakah tidak mengganggu pelajaran?
Siapa cakap kahwin waktu sedang belajar mengganggu? Salah tanggapan tu. Sepatutnya, kahwin awal lebih memberi kita semangat yang membara. Yelah, sudah ada pasangan yang halal dan akan sentiasa menyokong kita, mesti la lagi bersemangat mau belajar kan? Lagi satu, orang yang sudah kahwin ni akan berasa lebih bertanggungjawab dari sebelum kahwin. Sebab mereka tahu bahawa mereka punya pasangan untuk dijaga, jadi mereka pun akan berusaha untuk buat yang terbaik bagi pasangan mereka. Apa-apa pun, tengok ibu bapa kita saja sebagai contoh. Sudah kahwin, tapi adakah mengganggu kerja mereka? Tidak kan?
2. Saya masih belajar, macam mana mahu bagi nafkah pada isteri kalau belum ada kerja?
Saya tahu ramai antara kita yang masih belajar, dan ramai yang meminjam PTPTN atau dapat biasiswa. Saya beranggapan pasangan yang ingin dikahwini jugak masih study, dan juga meminjam PTPTN atau dapat biasiswa. Jadi ia bermakna dua-dua masih dapat hidup dengan wang yang asas tu. Jadi, sementara masih belum ada kerja, suami berilah nafkah yang termampu kepada isteri. Mungkin RM50 atau RM100 sebulan? Bergantung kepada berapa banyak isteri gunakan untuk makan. Lagipun, isteri jugak ada wang, jadi tak perlu rasa ada masalah di situ. Yang penting dua-dua masih dapat hidup. Lain la kalau isteri demand kereta, rumah, rantai emas, baju berlambak-lambak, dan macam-macam lagi. Jadi, sepatutnya tiada masalah dalam bab nafkah. Cuba kita tengok orang Arab zaman Nabi dulu. Adakah kebanyakan daripada mereka orang berharta? Tidak. Mereka cuma mampu memberi isteri makan makanan setakat yang mereka mampu beri. Itu pun sudah mencukupi untuk dijadikan nafkah. Nabi tak larang pun orang miskin berkahwin. Jangan jadikan kekurangan wang sebagai penghalang perkahwinan. Itu namanya menyalahkan takdir Allah. Berdosa.
Firman Allah: Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya kerana Allah Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurniaNya), lagi Maha Mengetahui. (An-Nur:32)
3. Macam mana mahu cari modal untuk majlis perkahwinan?
Sebelum itu, saya mahu tanya. Apa perkara asas dalam kahwin? Ya, akad nikah dan walimatul urus. Merisik dan bertunang tu bukan wajib pun. Jadi, potong kos seperti bagi hantaran waktu merisik dan bertunang, sudah jimat wang. Waktu akad nikah pun, jemputlah keluarga terdekat dengan kawan-kawan saja yang dapat datang. Berdosa bila tidak menghadiri jemputan walimatul urus. Jadi, jimat sikit kos kenduri. Dan tidak perlu sanding-sanding semua tu kerana hukumnya haram jika bersanding depan bukan mahram. Buang wang saja sewa pelamin, sewa baju pengantin, sewa jurukamera dengan mak andam semua tu kerana ia termasuk dalam hal-hal yang sia-sia. Mas kahwin pun tidak perlu tinggi-tinggi kerana sebaik-baik magar adalah yang paling rendah. Mudah saja majlis perkahwinan dalam Islam. Tidak sampai puluh ribu pun.
Sabda Rasulullah s.a.w: Tiga golongan yang akan selalu diberi pertolongan oleh Allah ialah seorang mujahid yang selalu memperjuangkan agama Allah s.w.t, seorang penulis yang selalu memberi penawar dan seorang yang menikah demi menjaga kehormatan dirinya. (H.R. Thabrani)
4. Tidak terlalu awalkah untuk saya berkahwin?
Kalau rasa dengan kahwin boleh buat semangat untuk belajar semakin meningkat, kahwin la. Kalau rasa kahwin boleh buat diri semakin bersemangat dalam agama, kahwin la. Kalau rasa kahwin boleh elak daripada fitnah dan maksiat, kahwin la. Itu maksudnya, kahwin memang perlu di usia muda. Benda yang baik, jangan dilambatkan. Takut kelak bertukar menjadi benda yang tidak baik. Cuba bayangkan anda ada pasangan yang disukai. Kan bagus kita cepatkan benda yang baik dengan berkahwin terus. Tapi kalau kita melambatkan perkahwinan yang bagus itu, mungkin kita akan terjerumus ke lembaah maksiat. Kenapa kita boleh beralasan untuk melakukan perkara yang halal, tetapi tidak langsung mengemukakan alasan untuk melakukan perkara yang haram? Tanya diri, jagalah iman.
Sabda Rasulullah s.a.w: Apabila datang kepadamu seorang laki-laki untuk meminang, yang engkau redha terhadap agama dan akhlaknya, maka nikahkanlah dia. Bila tidak engkau lakukan maka akan terjadi fitnah di muka bumi dan akan timbul kerosakan yang merata di muka bumi. (H.R. Tirmidzi dan Ahmad)
5. Bersediakah saya untuk kahwin awal?
Ini soalan paling bagus ditanya kepada diri sendiri. Tanya dulu soalan asas ni. Sudahkah saya solat penuh 5 kali sehari semalam? Bertanggungjawab sudahkah saya? Adakah saya panas baran atau penyabar? Adakah saya seorang yang bercakap menggunakan akal atau bertindak menggunakan akal di lutut? Pendek kata, ada banyak soalan spesifik yang boleh ditanya kepada diri sendiri. Walau apa pun jawapan dia, ini nasihat saya. Sentiasalah perbaiki diri dan mantapkan diri. Orang yang sudah berkahwin dan sedang belajar solat lebih baik berbanding orang yang sudah kahwin dan pandai solat tapi tidak amalkannya lepas kahwin. Orang yang bersedia mengubah dirinya adalah yang paling bersedia sebenarnya.
6. Macam mana dengan restu ibu bapa?
Ya, ini la benda paling susah bila mahu kahwin awal. Faktor penghalang paling utama. Kalau kita dapat menjelaskan dengan baik kepada ibu bapa dan mereka faham, insyaAllah tiada masalah untuk berkahwin awal. Tapi kalau ibu bapa kita susah mahu terima sebab fikiran mereka masih terikat dengan fikiran tipikal masyarakat Melayu sekarang ni yang lebih terpengaruh kepada adat dan cerekarama di tv semata-mata, serta pemikiran risau akan tak cukup wang nak sara anak dara orang, sudah tentu mereka tidak akan terima setiap hujah yang diberikan seperti di atas. Apa-apa pun, saya doakan yang terbaik untuk mereka yang mahu kahwin awal supaya cepat bertemu jodoh. Ingat, bila seseorang itu berkahwin kerana ingin mengikut sunnah Rasulullah, maka terbukalah segala pintu rezeki untuknya. Lihat, betapa banyaknya kelebihan kahwin awal. Fikiran kita yang sempit saja membuatkan kahwin ni nampak terlalu susah sangat.
Umar bin al-Khattab r.a telah berkata: Kahwinlah anak-anak kamu apabila sampai baligh, janganlah kamu menanggung dosa-dosa mereka. (Disebut oleh Ibnu Jauzi dalam Ahkam An-Nisa)
Nasihat saya untuk golongan-golongan yang sedang hangat bercinta tu, sebaiknya kahwinlah awal. Lebih banyak kelebihan kahwin awal berbanding kahwin lambat. Tapi semua itu pilihan masing-masing juga. Mudah-mudahan setiap pilihan yang kita buat adalah yang terbaik dan dirahmati Allah. InsyaAllah.
Rasulullah s.a.w bersabda: Siapa yang benci dengan cara hidup (sunnah) ku maka dia tidak termasuk golonganku. (H.R. Bukhari dan Muslim)